Beberapa hari lepas, saya tersalah makan. Makanan itu bukanlah makanan luar biasa — hanyalah sepinggan Kue Tiau Goreng di salah sebuah restoran Cina Muslim berdekatan dengan rumah.
“Rasa kue tiau goreng tu memang ‘power’ — penuh dengan wok hei, rasa asap, taugenya yang ranggup dan beraroma seperti masakan Cina asli.”
Mungkin orang lain makan tak ada apa-apa pun. Tapi bagi saya, itulah pencetus neraka kecil di jari-jemari tangan dan kaki.
Jari saya mula mengeluarkan gelembung-gelembung air. Tapi lama-kelamaan, ia mula bernanah dan mengeluarkan air bisa. Pedihnya bukan main. Berdenyut-denyut. Hendak menaip, hendak mandi, hendak berdiri apatah lagi hendak pegang sesuatu — semuanya terasa sakit.
Bukan itu sahaja, suara saya turut hilang kerana rongga di bahagian tekak terasa bengkak.
Saya pandang jari-jemari yang bernanah itu, terfikir —
“Beginikah rasanya apabila tubuh sendiri mula menolak apa yang kita beri padanya? Makanan yang selama ini kita nikmati, kini menjadi musuh dalam selimut.”
Ramai mungkin anggap ekzema ini masalah biasa. Tapi tidak bagi kami yang hidup dengan badan hypersensitif.
Mungkin ramai tertanya-tanya, kenapa kue tiau boleh jadi penyebab?
Saya buat sedikit refleksi, saya syak bahan frozen seafood yang digunakan dalam hidangan itu mengandungi bahan pengawet yang tidak serasi dengan tubuh saya. Sebabnya, jika saya makan seafood yang segar — alhamdulillah, tiada sebarang masalah.
Tapi sebagai manusia biasa, kadang kita lalai. Dan harga bagi kelalaian itu, saya terpaksa bayar dengan luka di jari dan hati yang sedikit terkoyak.
Ada orang kata ini ‘penyakit orang kaya’. Mungkin kerana kos ubat-ubatan dan rawatan yang tinggi. Tapi bagi saya, ini penyakit yang menjadikan saya lebih kaya jiwa — kerana saya belajar bersabar, belajar mendengar tubuh sendiri, dan belajar bahawa nikmat itu bukan hanya pada makanan enak, tapi pada kesihatan yang tidak ternilai.
Tapi saya tak mahu meratap. Saya mahu menulis — kerana saya tahu, ramai yang senasib.
Saya cuma mahu berkongsi — bahawa ekzema ini real. Sakitnya real. Emosinya juga berat.
Tapi kami tak keseorangan.
Kami bukan mahu simpati. Kami hanya mahu difahami.
Buat yang sedang bertarung dengan ekzema — sama ada ringan atau teruk seperti saya, ketahuilah: anda tidak bersendirian. Ketahuilah bahawa setiap luka itu ada harapan untuk sembuh – dengan berkat kesabaran, penjagaan, dan sedikit kekuatan untuk terus bertahan.
Dan kepada anda yang sihat — jaga makan, jaga tubuh. Nikmat itu bukan hanya pada makanan yang lazat, tapi pada tubuh yang tenang, kulit yang tidak meradang, dan malam yang boleh dilelapkan tanpa rasa gatal yang menyakitkan.
Nota Penulis: Setelah berpapan ubat ditelan, ekzema semakin pulih. Alhamdulillah.