
Saya suka membaca kedua-dua buah buku ini. Kedua-duanya menggunakan gaya penceritaan orang pertama — “saya” sebagai narator. Tetapi pendekatannya sangat berbeza.
Buku pertama ditulis oleh tokohnya sendiri. Buku kedua pula ditulis oleh seorang penulis lain yang menceritakan kisah tokoh itu dari kaca matanya. Walaupun berbeza, kedua-duanya mempunyai kekuatan dan daya tarik tersendiri. Bahasanya santai. Naratifnya berbentuk cerita. Sebagai pembaca, saya mudah terserap.
Dalam salah satu manuskrip yang saya hasilkan, saya cuba menggunakan pendekatan seperti dalam buku kedua. Gaya lebih kepada bentuk bercerita dan membina suasana. Tetapi, tidak semua orang senang dengannya. Ada golongan tertentu yang kurang senang — bahkan ada yang mencemuh dan membuat tuduhan yang bukan-bukan.
Berbeza pendapat itu tidak salah. Ia penting untuk penambahbaikan. Namun, saya percaya sesebuah kritikan itu tidak perlu disertai dengan penghinaan atau tohmahan terhadap penulis.
Menulis ini aktivitinya bukan sekadar duduk dan menaip. Ia melibatkan banyak pengorbanan — masa, tenaga, emosi, dan kadang-kala kesihatan. Penat lelah itu tidak pernah benar-benar terbayar dengan royalti atau wang ringgit. Maka, janganlah menilai penulis sebegitu. Lihatlah juga proses yang dilaluinya.
Penulisan adalah sesuatu yang hidup. Ia boleh diperbaiki, diperhalusi, diubahsuai — agar lebih sesuai dengan kehendak dan penerimaan khalayak. Apatah lagi jika manuskrip itu bertujuan untuk pasaran komersil, sudah tentu ia akan melalui pelbagai fasa — evolusi dan eksperimen.
Jika kita perhatikan buku-buku di kedai buku seperti BookXcess atau Kinokuniya, kita akan melihat kepelbagaian bentuk penulisan yang ada. Cuba belek dan selak isi kandungannya. Lihat reka letak yang digunakan. Kaji kulit buku yang terpamer di rak hadapan.
Setiap satu menyasarkan pembaca yang berbeza. Setiap gaya ada pembelinya.
Jadi, fikirkanlah.
Kenapa kita perlu benarkan penulisan terus berevolusi dan bereksperimental.