Tulisan ini merupakan pandangan guru penulisan saya, Tuan Zamri Mohamad, yang menyaksikan sendiri langkah-langkah awal saya dalam dunia penulisan. Beliau menggambarkan perjalanan saya dengan bayangan watak Alice — penuh ragu, namun perlahan-lahan berani melangkah. Saya simpan tulisan ini sebagai peringatan bahawa setiap orang ada “Wonderland” masing-masing, dan menulis adalah cara saya melawan rasa takut dan mencipta peluang. Semoga kisah ini menghidupkan semangat penulisan anda juga.
Ada tiga dialog yang lekat benar dalam fikiran saya dalam filem Alice and Wonderland pada tahun 2010.
Dialog pertama, “Benar, memang kamu kurang waras. Tapi biar ayah beritahu kamu. Mereka yang paling hebat dalam dunia mereka adalah mereka yang gila.”
Dialog kedua, “”Setiap hari saya berfikir enam perkara mustahil dalam hidup.”
Cerita Alice in Wonderland menemukan saya dengan ‘Alice’ dunia penulisan.
Seingat saya wanita yang seorang ini ada ragu-ragu dalam penulisan. Ragu-ragu itu sama seperti watak Alice apabila diberitahu takdirnya ialah melenyapkan pemerintahan kejam di bawah Red Queen.
Rasa ragu-ragu sentiasa timbul apabila kita tahu banyak atau tidak tahu langsung sama sekali.
Bagi wanita ini, ragu-ragu itu dibunuh dengan perlahan-lahan dan secara senyap-senyap.
Pisau tindakan yang paling tajam, memutuskan pembuluh darah hitam yang menyekat tindakan-tindakan besar. Dibiarkan darah hitam meleleh keluar dan menitis ke lantai. Dalam darah hitam itu jugalah keluar ragu-ragu dari tubuh pelaku.
Ragu-ragu itu dibunuh dengan melakukan tiga perkara yang paling asas.
Pertama, asingkan diri daripada kebiasaan kumpulan besar
Kedua, cepat-cepat membuat keputusan kecil pertama
Ketiga, bersegera membina kolaborasi.
Selepas itu beliau tidak duduk diam, ditambah lagi dua langkah lanjutan.
Keempat, membangunkan peta langkah ke depan secara konsisten
Kelima, betulkan cara kerja, pusingkan roda kejayaan
Itu cara yang dilakukan oleh wanita bernama Nurdilla Zaini ketika memetakan kerjaya awal sebagai penulis.
“Saya tidak terfikir akan ada buku dan menulis di akhbar,” itu kata-kata Nurdilla selepas diberitahu akan melihat buku pertamanya dua tahun yang lalu.
Bagaimana kelima-lima perkara ini membawa kepada rencana dan buku pertama dalam kehidupan beliau?
—-
Pertama, asingkan diri daripada kebiasaan kumpulan besar
Kata Nurdilla ketika kami bertemu di sesi bertemu penulis, “Rakan-rakan sepengajian sebenarnya hairan bagaimana saya dapat muncul dalam akhbar dan ada buku sendiri. Cipta rutin baharu dalam hidup. Saya tambah jadual dalam hidup sebagai pelajar.”
Jadual tambahan itu memerlukan disiplin menulis yang mesti dibuat. Jadi saya asingkan waktu menjadi pelajar dan waktu menulis.”
Dengan kata mudah, kalaulah setiap malam ada waktu kita menyiapkan tugasan universiti atau pun aktif ber-pillow-talk dengan rakan-rakan sebilik. Adakan satu waktu bagi kita menulis dan membangunkan tabiat profesional sebagai penulis.
—
Kedua, cepat-cepat membuat keputusan kecil pertama
Nurdilla membuat keputusan datang ke kelas penulisan rencana akhbar pada tahun 2013.
Sementara motivasi sedang panas, otak menggelegak dengan maklumat, Nurdilla cepat-cepat membuat keputusan mencari ruang menulis.
“Saya menghantar rencana pertama ke akhbar. Keputusan yang mana saya tidak terfikir akan lakukan. Pada tahun 2013 saya menulis satu rencana berjudul Farm in the City dan editor membalas emel menyuruh saya terus menghantar lagi!”
—
Ketiga, bersegera membina kolaborasi.
Pada Nurdilla, menulis buku merupakan benda besar. Beliau boleh sahaja memilih tunggu dahulu.
Tetapi Nurdilla melihat ada satu cara yang dapat dilakukan, “Saya ada kemahiran bahasa (menulis) dan menyusun maklumat, maka saya bekerjasama dengan seorang motivator yang banyak pengetahuan serta pengalaman. Terus saya gabungkan kemahiran bahasa, menyusun maklumat, pengetahuan dan pengalaman menjadi satu buku.”
Bagi mengelakkan situasi langgar dinding dan agak-agak, setahun selepas belajar menulis rencana akhbar, beliau membuat pelaburan ke atas diri menguasai penulisan motivasi.
Ilmu menulis yang dipelajari merangsang ilmu lain.
—
Keempat, membangunkan peta langkah ke depan secara konsisten
“Jangan berhenti,” kata Nurdilla, “Lihat mana-mana ruang yang dapat dirapati dan kita turut serta,” pesan beliau.
Kolaborasi menulis dalam projek kecil-kecil menjaga momentum menulis. Beliau memilih menulis dalam antologi Beautifool terbitan S.O Publishing. Selepas itu menyumbang satu karya dalam antalogi cerita seram, Kelibat.
—
Kelima, betulkan cara kerja, pusingkan roda kejayaan
“Ya, ada waktu kita ada membuat kesilapan dalam penerbitan, tetapi kita belajar pusingkan semula roda kejayaan,” kesimpulan bagi setiap keputusan yang dibuat oleh Nurdilla.
Dalam dua tahun kebelakangan ini, cerita pelajar biasa-biasa menjadi luar biasa dengan menjadikan perkataan yang dahulunya ‘assignment’ untuk pensyarah menjadi perkataan bacaan pembaca pasaran umum.
Bagaimana menulis dapat menukarkan status Nurdilla?
Dahulu, Nurdilla ialah seorang pelajar. Noktah.
Sekarang, Nurdilla menjadi seorang pelajar, penulis, ‘collaborator’ dan ghostwriter…
Masih belum ada noktah.
Oh, apakah dialog akhir dalam filem Alice in Wonderland yang terkait dengan cerita Nurdilla?
Dalam babak akhir filem, rangkuman kata-kata Alice kita simpulkan, “Berani buat keputusan, labur pada risiko, buka peluang baru, tidak lari dari masalah. Semuanya fantasi dijelmakan.”
“Apakah perkara mustahil yang anda ingin buktikan mungkin — jika anda berani melangkah hari ini?”