“Dalam dunia yang serba moden ini, masih ada waris yang kehilangan hak hanya kerana pemergian insan tersayang tidak tercatat secara rasmi. Inilah realiti yang perlu kita tangani bersama — agar tiada lagi anak yang terhalang haknya hanya kerana sistem menunggu bukti yang tiada.“
Apabila tiada bukti kematian, waris terus terbiar dalam kesamaran
Hari itu seperti biasa, staf Coway datang ke rumah saya untuk servis penapis air.
Memandangkan beliau sudah lebih setahun membuat servis di rumah saya, kami jadi biasa berbual-bual semasa dia menjalankan tugas.
Lalu saya ambil peluang berkongsi sedikit tentang khidmat yang saya tawarkan.
“Kalau awak nak tulis wasiat ke, hibah ke, atau ada harta pusaka keluarga yang sudah lama meninggal dunia tapi belum selesai, awak boleh uruskan melalui saya.”
“Oh, menarik! Memang ramai yang ada masalah macam ni. Nanti saya beritahu kawan-kawan saya kalau ada yang perlukan perkhidmatan ni,” katanya.
Saya pun hulurkan kad bisnes sebagai rujukan. Kami terus berbual tentang pengalaman masing-masing dalam hal pusaka keluarga.
Kemudian dia berkongsi satu kisah menyedihkan:
“Saya teringat satu kisah kawan saya. Dia dah lama berpisah begitu saja dengan suaminya sejak anak-anak mereka kecil lagi. Sekarang anak perempuan tu dah besar dan mahu berkahwin. Puas mencari, akhirnya jumpa juga keluarga sebelah ayah. Tapi ada masalah lain pula…”
“Apa masalahnya?” saya tanya.
“Adik-beradik ayah dia beritahu yang ayahnya sudah meninggal dunia. Tapi… tiada sijil kematian. Kubur pun tak ada tanda. Ada batu, tapi tiada nama. Bila pergi ke JPN, status dalam sistem masih hidup. Pejabat agama pula tak boleh luluskan wali hakim sebab tiada bukti kematian ayah anak tu.”
Saya benar-benar terdiam. Puas saya fikir. Saya tanya, “Ada tak cari saksi? Mungkin boleh rujuk Ketua Kampung?”
Katanya memang dah jumpa Ketua Kampung, tapi tiada bukti hitam putih.
Waktu itu saya hanya mampu sarankan mereka rujuk ke mahkamah atau Pesuruhjaya Sumpah, tetapi saya sendiri pun masih mencari maklumat tepat.
Baru-baru ini, saya berpeluang bertemu dengan seorang kenalan lama yang pernah bekerja dengan firma guaman. Saya ceritakan masalah ini.
Katanya:
“Suruh kawan tu pergi ke Pesuruhjaya Sumpah. Bawa sekurang-kurangnya dua orang saksi yang tahu tentang kematian si ayah. Buat surat akuan dan dapatkan cap pengesahan sumpah.”
Saya segera sampaikan solusi ini kepada staf Coway tersebut dengan harapan ia dapat membantu anak kawannya menyelesaikan isu wali dan seterusnya perkahwinannya.
Dia bertanya,
“Anak dia tu ada hak tak atas harta pusaka ayah dia? Sebab keluarga sebelah sana ada harta.”
Saya jawab,
“Memang ada hak. Hak pusaka tak akan terputus walaupun ibu bapanya berpisah. Keluarga yang tak menguruskan harta pusaka, lebih-lebih lagi jika melibatkan anak yatim… Menjawablah di akhirat nanti. Jangan sampai kita termakan harta yang bukan hak kita.”
Ikhtibar dari kisah ini: Jika ada masalah rumah tangga, selesaikan dengan baik—lebih-lebih lagi jika sudah ada anak-anak. Mungkin waktu ini semuanya nampak tenang, tetapi hal yang tidak diselesaikan hari ini boleh menjadi beban yang berpanjangan, bahkan selepas kematian.
Fikir-fikirkanlah.
Nurdilla Zaini @ Kak Dell
Will and Legacy Strategist
Bisnes Legacy Planner | AWARIS