nurdillazaini.my

Cerita Bermakna, Ilmu Bermanfaat, Warisan Berharga

Menu
  • Profil
  • Perkhidmatan
    • Penulisan
    • Tutor
    • Suntingan
    • Konsultasi Perancangan Perwarisan Harta dan Perniagaan
  • Perwarisan Harta
    • Pakej Wasiat
    • Pakej Hibah
      • Hibah Hartanah
      • Hibah Tunai
  • Amanah & Legasi
    • Amanah Perniagaan
    • Jenama
  • Kedai
    • Buku
    • E-book
    • Produk
    • Think Quran
  • Testimoni & Ulasan
    • Pembaca Buku
    • Pelajar Kelas
  • Blog
    • Catatan Dell
    • Dari Meja Cikgu Dell
    • Tulisan dan Terbitan
      • Nurdilla Zaini, Alice in Wonderland dan Jalan Menulis: Kupasan Zamri Mohamad
    • Warisan & Wasiat
      • Pemergian Tanpa Bukti, Hak Anak Dipandang Sepi
      • Dokumen Penting yang Harus Disimpan Dalam Satu Fail Khas
      • Khairat Kematian: Jangan Diabaikan, Boleh Membantu Waris dan Diri Kita Sendiri
  • Hubungi Kami
Menu

Profil

Saya, Nurdilla Zaini — Seorang penulis, editor, tutor dan perunding perwarisan harta dan pusaka yang percaya bahawa setiap kisah dan setiap harta ada nilainya. Semuanya bermula daripada sebaris kata-kata sehingga tersusun menjadi tulisan yang dapat menyampaikan suara hati dan memberi inspirasi.

Langkah Pertama di Lorong Ilmu

Saya membesar dengan timbunan buku-buku lama hasil simpanan arwah atok saya. Saya dilonggokkan dengan timbunan jilid penuh Ensiklopedia berkulit tebal Bahasa Melayu. Ada rak buku khas untuk simpanan buku sahaja. Rak tersebut jenis terbuka, tiada penutup langsung. Saya bebas untuk buka dan baca ikut apa yang saya berminat hendak tahu pada ketika itu. Itulah buku yang saya belek sejak sekolah rendah apabila saya sudah boleh membaca. Dari sinilah, minat membaca saya dipupuk.

Tontonan Berita diwajibkan di rumah saya oleh arwah atok saya. Manakala, arwah nenek saya pula mewajibkan baca surat khabar setiap hari.

Dari sinilah, saya mula berangan-angan untuk menjadi seorang wartawan. Akibat kurangnya pendedahan pada waktu itu, saya beranggapan hanya dengan menjadi wartawan sahaja baru boleh menulis dalam surat khabar dan buku.

Ketika Cikgu Kata, “Bagus!”

Impian untuk menjadi seorang wartawan hampir terkubur dek kerana saya masuk ke dalam aliran sains tulen ketika SPM. Namun keputusan SPM saya tidak baik lalu saya ditakdirkan sambung pelajaran ke Tingkatan Enam.

Saya tukar aliran dari pelajar sains tulen menjadi pelajar sastera. Subjek yang diambil pada waktu itu ialah Pengajian Am, Bahasa Melayu, Sejarah dan Ekonomi.

Waktu inilah, saya terpaksa baiki skil penulisan saya kerana dunia Tingkatan Enam dipenuhi dengan penulisan esei yang panjang. Kami perlu biasakan diri menulis sebanyak 500 – 800 patah perkataan hampir setiap hari.

Sehinggalah pada suatu hari, guru subjek Bahasa Melayu saya iaitu Cikgu Rashid memanggil saya secara personal. Beliau kata, “Awak ada kelebihan dalam pengolahan ayat. Bagus tu, tak semua orang ada kemahiran itu. Teruskan dan sentiasa cari skil dalam penulisan.”

Sejak itu, saya bertambah yakin dengan kemahiran yang saya ada dan alhamdulillah, saya berjaya mendapat A untuk subjek Bahasa Melayu dalam STPM.

Di Menara Gading, Aku Mencari Diri

Berbekalkan kekuatan kata-kata guru saya itu, akhirnya saya memberanikan diri terjun ke dalam bidang bahasa. Saya melanjutkan pelajaran Ijazah Sarjana Muda di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun 2002 dalam bidang Pengkhususan Bahasa dan Linguistik Melayu.

Dua tahun kemudian, saya meneruskan pengajian sekali lagi dan alhamdulillah berjaya mendapatkan Ijazah Sarjana Bahasa Melayu pada tahun 2010. Pernah melanjutkan pengajian Doktor Falsafah dalam bidang yang sama di UPM namun atas sebab-sebab tertentu, saya tidak dapat menamatkan pengajian seperti yang dirancang.

Dunia Pekerjaan

Setelah bergraduat pada tahun 2005, rezeki permulaan kerjaya saya masih lagi di UPM. Saya menjadi Pembantu Penyelidik di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), UPM pada tahun 2005. Setelah tamat kontrak, saya berpeluang berkhidmat di Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC), UPM pada tahun 2007. Seterusnya berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Tadbir di Seksyen Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), UPM pada tahun 2008 sehingga 2012.

Impian ingin menjadi penulis hampir-hampir dilupakan kerana dunia pekerjaan saya diselimuti dengan dunia penyelidikan dan inovasi serta perihal pengurusan sahaja.

Sehinggalah ketika berkhidmat di FBMK, saya mula berjinak-jinak dalam dunia penulisan. Bermula sebagai penulis blog yang aktif pada tahun 2009, seterusnya memberanikan diri menjadi Editor Bahasa Melayu secara sambilan.

Dari Blog ke Buku

Untuk merealisasikan impian sebagai seorang penulis, saya tidak melepaskan peluang menjadi pembantu kepada salah seorang Sasterawan Negara iaitu Profesor Emiratus Dr. Muhammad Haji Salleh (SN ke-6) bagi tempoh enam bulan untuk memahami dunia penulisan.

Tidak menoleh ke belakang lagi, saya mula melangkah lebih jauh dengan menghasilkan beberapa karya sehingga berjaya diterbitkan. Antaranya buku Grab Me-Lah! (2019), buku Rahsia 100 Impian (2014), beberapa buah cerpen dan puisi di dalam buku antologi serta beberapa buah artikel disiarkan di akhbar Utusan Malaysia. Malahan saya pernah menjadi Pengurus Penerbitan di syarikat SO Publishing untuk memahami dunia penerbitan buku (2016-2018).

Menjadi Lilin, Menyuluh Jalan Orang Lain

Saya juga merupakan Tutor Bahasa Melayu secara bebas sejak tahun 2006 sehingga kini. Selain membantu pelajar sekolah melalui kelas tuisyen, saya turut berpeluang mengajar di institusi kecil bagi subjek wajib LAN (2005-2008) dan di HELP University bagi subjek wajib MQA (2015-2016).

Bermula sebagai tutor biasa, saya tidak menyangka ilmu yang saya kongsi membuka peluang untuk saya membimbing pelajar-pelajar istimewa, bekas hos TV3, influencer media sosial, dan personaliti awam. Setiap sesi mengajar bukan sekadar ilmu, tetapi juga pertukaran rasa hormat, inspirasi dan amanah.

Inilah cara saya supaya ilmu bahasa ini tidak luput dalam dada.

Realiti Dunia Dewasa

Hari tidak selalunya cerah. Saya pernah diduga kehilangan pekerjaan. Ketika itu syarikat penerbitan buku tempat saya bekerja, tutup operasinya. Agak sedih pada awalnya, namun saya harus belajar ‘bertahan’.

Saya bernasib baik kerana bekas majikan memperkenalkan saya dengan dunia e-hailing. Ada sedikit tentangan namun sokongan kuat dari sekeliling membuatkan saya terus bertahan untuk berada di dalam dunia ini.

Waktu ini, saya sudah redha sekiranya ramai menjauhi disebabkan status saya sebagai pemandu Grab.

“Grab Me-Lah!” – Dari Roda ke Pena

Pada saat saya mula memandu Grab, kebanyakan masa saya berada di jalan raya. Hampir seharian, dunia saya berada di dalam kereta. Peneman saya waktu itu, hanyalah bunyi radio dan Facebook.

Maka, tercetuslah idea untuk berkongsi dengan rakan-rakan FB mengenai kehidupan saya di dalam kereta. Tanpa disangka dengan menggunakan tagline Grab Me-Lah!, saya mendapat ramai pengikut dan mereka sentiasa menunggu perkongsian baharu daripada saya. Perkongsian yang asalnya hanya sebagai terapi diri, tak disangka menjadi inspirasi. Akhirnya, perkongsian itu berjaya dibukukan dan diterbitkan pada tahun 2019 dengan menggunakan tajuk Grab Me-Lah!

Dari Buku ke Skrin, Dari Cerita ke Ikon.

Setelah dunia dilanda Covid-19, saya sudah kurang berkongsi mengenai Grab Me-Lah! di media sosial. Saya mengalami mood block sejak negara kita melaksanakan PKP. Saya merasakan kehidupan waktu itu terlalu mengongkong. Walaupun idea mencurah-curah, mood untuk menulis langsung tiada.

Ada beberapa kali saya cuba untuk bangkit semula menulis, tetapi fasa itu tersangat perlahan.

Pertengahan tahun 2024 membuka satu lembaran baru dalam perjalanan penulisan saya. Pihak Grab menghubungi saya untuk mengetahui lebih lanjut tentang buku Grab Me-Lah! — sebuah karya yang lahir dari pengalaman sebenar di sebalik stereng.
⁣
Beberapa sesi diskusi diadakan, dan akhirnya mereka menzahirkan minat untuk menghasilkan siri penggambaran eksklusif. Saya diberi peluang tampil sebagai ikon Sis Boleh, satu penghargaan yang menjadi bukti bahawa setiap kisah — jika ditulis dengan jujur — mampu sampai kepada yang sepatutnya.

Inilah yang menjadi pembangkit semangat untuk saya kembali semula ke dalam dunia penulisan.

Benarlah kata salah seorang guru penulisan saya iaitu Tuan Zamri Mohamad, “Penulisan adalah himpunan kata yang setia menemani perjalanan penulisnya!”

Urus Warisan, Tinggalan Amanah

Bukan mudah mengurus sesuatu yang ditinggalkan, lebih-lebih lagi jika ia hadir bersama tanggungjawab yang berat.

Saya bermula bukan sebagai pakar, tetapi sebagai cucu yang pernah memegang fail pusaka arwah atuk dan nenek — keliru, termenung dan mencari jalan. Dari pengalaman itu, saya sedar bahawa setiap warisan bukan sekadar harta. Ia adalah amanah yang perlu diurus dengan ilmu, hikmah dan hati yang tenang.

Seiring peredaran masa dan kematangan usia, saya mula mendalami bidang Perancangan Harta dan Pusaka secara serius melalui AlKahfi Consultant. Langkah ini membawa saya menjadi seorang Legacy Planner di Amanah Warisan Berhad (AWARIS) pada September 2022. Bagi melengkapkan ilmu ini, saya telah memberanikan diri mengikuti beberapa siri dan ujian khas untuk menaik taraf diri daripada Legacy Planner biasa menjadi Competent Bussiness Legacy Planner.

Hari ini, saya memilih untuk menjadi sebahagian daripada jalan penyelesaian. Membantu mereka yang keliru, memandu mereka yang terhenti. Agar amanah yang ditinggalkan tidak terbengkalai — dan kasih yang disemai, terus diwarisi.

Bersama Mencipta Nilai

Laman web ini saya bina sebagai ruang untuk berkongsi ilmu, pengalaman dan perjalanan hidup saya sebagai seorang Penulis, Editor, Tutor, serta Perancang Harta dan Pusaka.

Jika apa yang dikongsikan di sini memberi manfaat walau sedikit, sudilah menyokong dan terus mengikuti perkembangan saya melalui saluran rasmi di Facebook: Nurdilla Zaini.

Terima kasih kerana sudi singgah dan membaca hingga ke noktah ini.

Sekiranya anda memerlukan perkhidmatan atau ingin mendapatkan produk yang ditawarkan, jemputlah klik pada menu Perkhidmatan dan Kedai di laman ini.

Nurdilla Zaini

Recent Posts

  • Nurdilla Zaini, Alice in Wonderland dan Jalan Menulis: Kupasan Zamri Mohamad
  • Khairat Kematian: Jangan Diabaikan, Boleh Membantu Waris dan Diri Kita Sendiri
  • Dokumen Penting yang Harus Disimpan Dalam Satu Fail Khas
  • Pemergian Tanpa Bukti, Hak Anak Dipandang Sepi

Recent Comments

No comments to show.

Archives

  • May 2025
  • March 2023
  • February 2023
  • December 2022

Categories

  • Tulisan & Terbitan
  • Warisan & Wasiat
© 2025 nurdillazaini.my | Powered by Minimalist Blog WordPress Theme